Selasa, 20 Januari 2009

Lagi blog hina nabi, pertikai al-Quran

KUALA LUMPUR: Tidak sampai sebulan laman blog menghina Nabi Muhammad disekat penyebaran, muncul pula satu lagi laman blog baru yang dicipta pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan keperibadian junjungan besar Rasulullah s.a.w sekali lagi.

Kewujudan laman blog berkenaan menimbulkan rasa marah di kalangan pengguna Internet yang percaya ia provokasi untuk menimbulkan kemarahan umat Islam.

Kemunculan laman web baru yang mempunyai alamat hampir sama dengan laman blog sebelum ini mula disedari pengguna laman web selepas menjadi buah mulut di kalangan pengirim e-mel.

Bezanya, kali ini penulis blog itu menukar satu daripada abjad yang terdapat pada laman blog berkenaan yang secara terang-terangan cuba menghina Nabi Muhammad s.a.w.

Melalui laman blog berbahasa Inggeris itu, penulis sedaya-upaya menimbulkan provokasi terhadap umat Islam dengan hujah dan dakwaan dangkal yang terang-terangan menghina al-Quran, Nabi Muhammad serta Islam.

Penulis mendakwa sungguhpun sedar perbuatan gilanya itu akan mencetuskan keadaan huru-hara dan kemarahan masyarakat, namun mendakwa tidak sanggup membohongi dirinya dengan berdiam diri.

Penulis juga beberapa kali mempersoalkan tindakan Rasulullah mengahwini Aisyah yang ketika itu masih kanak-kanak selain menuduh umat Islam sebagai pengganas.

Lebih menyakitkan hati, penulis terus-menerus menyerang Nabi Muhammad dan al-Quran yang disifatkannya menjadi penyebab utama umat Islam hari ini terdorong menjadi pengganas.

Berikutan itu, penulis ‘berhati syaitan’ itu terus menuduh Nabi Muhammad tidak layak menjadi Rasul.

Menurutnya, dia kononnya terdetik mempersoalkan Rasulullah selepas membaca penemuan kononnya hasil kajian cendikiawan Islam yang murtad membabitkan perbandingan antara agama yang sekali gus menghancurkan benteng keimanannya.

Penulis turut menyatakan kononnya selepas itu beberapa kali mengkaji al-Quran dan menemui pelbagai perkara yang menurutnya tidak sepatutnya ditulis dalam kitab suci yang diturunkan Allah sebelum membuat keputusan menjadi murtad.

Membuktikan kesungguhan untuk menyesatkan umat manusia, penulis mengajak orang ramai bersama-sama menyelidiki secara bersendirian mengenai kebenaran agama masing-masing dengan membaca pelbagai dakyah sesat melalui alamat hubungan terus ke beberapa laman web yang terang-terangan memusuhi Islam.

Harian Metro 27 Disember lalu melaporkan mengenai seorang penulis laman blog yang dikesan cuba menaikkan kemarahan umat Islam di negara ini apabila tergamak menyiarkan artikel berbahasa Melayu dan beberapa lukisan menghina Islam serta Nabi Muhammad.

Tidak ada komentar: